Orang Sungai

Pengenalan

Dari segi catatan sejarah, asal-usul mengenai Orang Sungai adalah bermula pada 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi tersebut, rombongan beliau telah terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang sudah bertamadun dengan berkebolehan mendirikan petempatan di tebing sungai serta pandai bercucuk tanam yang dicirikan dengan imej berambut panjang dan mempunyai kulit kemerah-merahan. Disebabkan masalah komunikasi ketika itu, beliau tidak mengetahui asal-usul masyarakat tersebut dan untuk memudahkan, beliau telah menamakan kumpulan masyarakat ini dengan panggilan the river people.

Selepas peristiwa tersebut dan semasa pemerintahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC) panggilan ini telah dialihbahasakan kepada Orang Sungai dan telah kekal digunakan, bukan sahaja terhadap masyarakat yang mendiami Sungai Kinabatangan tetapi juga masyarakat yang menghuni sungai-sungai yang lain juga turut digelar sedemikian. Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai yang dirujuk sebagai Orang Sungai terus berkembang dan petempatan mereka sering tertumpu di tebing-tebing sungai utama seperti Sungai Bengkoka, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Pemilihan tempat ini boleh dikaitkan dengan cara hidup masyarakat ini yang gemar bercucuk tanam dan sentiasa mencari kawasan yang subur terutama kawasan lembangan sungai.

Sistem Kepercayaan dan Adat ResamSuku kaum Orang Sungai menganut fahaman yang berbeza-beza, ada yang beragama Islam, Kristian dan ada yang masih mengamalkan fahaman Animisma.Mereka yang menganut agama Islam pada asasnya adalah terdiri daripada mereka yang berkahwin campur dengan peniaga Suluk. Orang Sungai mengamalkan adat resam yang dipusakai daripada nenek moyang mereka yang banyak menerima pengaruh animisma dan kini pengaruh Islam. Mereka mengamalkan adat bersanding semasa majlis perkahwinan, adat bertimbang, adat menggunting rambut kanak-kanak dan adat melenggang perut. Pemilihan jodoh bermula dengan istiadat merisik calon isteri. Setelah istiadat merisik maka istiadat meminang pula dilakukan.

Dalam istiadat ini, rombongan pihak lelaki bertandang ke rumah keluarga gadis pilihan untuk meminang secara rasmi. Selepas itu, istiadat menghantar damak atau pemberian dilakukan. Pada hari tersebut tarikh perkahwinan dan belanja hantaran untuk majlis perkahwinan akan ditentukan. Istiadat perkahwinan dalam kalangan masyarakat suku kaum Orang Sungai dilakukan mengikut amalan agama masing-masing.

Bahasa Orang Sungai

Pertanyaan Yang Sering Didengari

Percakapan Yang Sering Didengari



Adat Istiadat Orang Sungai

Pihak Lelaki Mencari Jodoh
Langkah pertama pihak lelaki memberi isyarat kepada pihak keluarga perempuan dengan memberi samada Air, Kayu, Jenis barangan dapur, Pakaian atau jenis alat solek sebanyak 2 kali,maka masuk ke-3 kali pihak keluarga perempuan akan bertanya kepada pihak keluarga lelaki samada barang yang diberikan itu adalah sekadar sedekah sebagai keluarga atau ada tujuan. Jika sekiranya lelaki tidak ada tujuan cuma sekadar suka-suka sahaja maka pihak keluarga perempuan akan melaporkan kepada ketua kampung dan pihak lelaki akan dijatuhkan hukuman denda nilai 2 gong iaitu pertama kemaluan siperempuan dan kedua kemaluan pihak ibubapa perempuan nilai wang RM20 setiap satu gong.

Tujuan denda tersebut ialah supaya mana-mana pihak lelaki tidak memperkecil-kecilkan anak gadis dan keluarganya yang ada disesuatu kampung. Sebaliknya jika pihak lelaki tersebut memang ada tujuan iaitu ingin merisik atau meminang maka pihak lelaki kena memberi satu ekor ayam yang cukup besar sebagai tanda menghormati kesucian gadis yang bakal dilamar. Jika pihak perempuan mendapati ada lelaki yang memberi sesuatu yang boleh dijangka bermaksud ingin merisik tetapi pihak perempuan dan keluarga ibubapa tidak setuju dengan pihak keluarga lelaki, maka pihak keluarga perempuan akan mengambil tindakan iaitu mengembalikan apa sahaja yang diberikan, kalau bukan ibubapa maka lantik satu wakil untuk melakukanya.

Sekiranya cukup 3 hari, barang-barang pemberian itu tidak dikembalikan maka pihak lelaki akan merisik iaitu melantik 2 orang wakil untuk merisik iaitu menghantar wang sebanyak RM20 tujuannya menentukan samada pihak keluarga perempuan bersetuju atau tidak. Adakah lelaki lain yang lebih dulu merisik dan setelah genap 3 hari tidak dikembalikan wang risikan tersebut maka proses meminang akan diadakan iaitu pihak lelaki akan memanggil wakil merisik tersebut dan beberapa orang untuk menyempurnakannya. Barang-barang meminang yang harus disediakan iaitu yang pertama buka mulut RM20. Yang kedua pula satu beg pakaian lelaki ditinggalkan di rumah perempuan selama bertunang. Yang ketiga sebuah parang bersarung. Yang keempat golong kawat dan yang terakhir iaitu kelima sebentuk cincin.

Adat Semasa Naik Meminang  
Rombongan meminang 7 atau 3 orang dan bungkusan tersebut dipegang oleh timbalan atau ketua rombongan secara amanah kerana bungkusan tersebut tidak boleh diletakkan di atas lantai sehingga proses meminang tersebut selesai barulah bungkusan tersebut boleh diletakkan dihadapan ibu dan ayah sigadis. Langkah pertama apabila rombongan pihak lelaki sampai di rumah pihak perempuan maka ketua rombongan akan menyerahkan wang buka mulut sebanyak RM20 barulah pihak ibubapa perempuan boleh membenarkan proses bercerita mengenai maksud kedatangan rombongan tersebut. Setelah itu proses perbincangan akan bermula. Pihak perempuan akan bertanyakan kepada pihak keluarga perkara-perkara yang boleh dibangkitkan contohnya seperti Nazar berapa permintaan pihak perempuan jika ada nazar dari pihak perempuan beberapa jumlah yang diminta mestilah ditunaikan secara serta merta dan tidak boleh ditangguh-tangguhkan atau dihutang, begitu juga dengan keluarga yang tidak dapat hadir kerana sesuatu masalah terpaksalah diganti dengan wang RM20 tiap seorang.

Semua wang nazar dan wang ganti sebagai menghormati keluarga perempuan yang tidak dapat hadir. Ini jika berlaku sesuatu dan pihak lelaki tidak jadi kahwin maka ianya tidak boleh dikembalikan dan dikira sebagai buang laut. Setelah habis perbincangan pihak perempuan dan semua nazar dan wang ganti keluarga tidak dapat hadir sudah ditunaikan maka pihak keluarga perempuan akan membentangkan jumlah permintaan contoh wang tunai RM5000 tidak termasuk rumah baru, lembu dan kelengkapan set tidur pihak perempuan. Jika permintaan tersebut telah dipersetujui bersama maka pihak perempuan akan menghuraikan semua keburukan dan kebaikan semua keluarga pihak perempuan jika telah dipersetujui maka semua perkara yang dianggap tahlik akan didokumenkan dan disimpan bersama oleh kedua-dua pihak untuk rujukan bersama.

Selepas itu, perbincangan tempoh pertunangan sama ada kahwin serta merta atau bertempoh tiga bulan apabila sampai masanya pihak lelaki akan bertemu dengan pihak perempuan  untuk mengunjuk wang permintaan tersebut, tetapi jika wang belum cukup tempoh 3 bulan akan diberikan dan jika sudah 2 kali bertempoh tidak cukup wang juga maka terpulang kepada budi bicara pihak perempuan samada diselesaikan dengan hutang atau terus diputuskan pertunangan. Tempoh bertunang ini sebenarnya tidak terikat dengan hari yang ditetapkan jika pihak lelaki telah dapat mengumpul permintaan pihak perempuan maka bila-bila masa sahaja pihak lelaki boleh membincangkan perkara perkahwinan ini dan boleh dipercepatkan daripada tempoh perjanjian dan jika telah dipersetujui bersama maka kedua-dua pihak akan menetapkan tarikh sebenar perkahwinan dengan mengambil kira waktu atau hari yang terbaik mengikut adat dan berpandu kepada sunah nabi.

Adat Sepanjang Tempoh Pertunangan
Lelaki naik meminang kemudian memutuskan tunang dengan tidak ada masalah. Hukumnya kena  memberi kemaluan satu Gong atau abos dan ketetakan satu gong. Dalam masa pertunangan antara lelaki dan perempuan jika ada lelaki lain yang mengganggu pertunangan itu sehingga pertunangan itu terpaksa diputuskan, maka lelaki yang mengganggu itu kena hukum satu gong, kemaluan satu gong dan semua jumlah kerugian dalam masa pertunangan itu lelaki yang menggangu itu kena membayar balik dan lelaki tersebut tidak boleh kahwin dengan perempuan tersebut.

Tidak boleh menggunting rambut bagi lelaki dan perempuan yang bertunang kecuali dengan izin perempuan atau lelaki atau ahli keluarga masing-masing, kalau terlanggar adat ini mana-mana yang bersalah kena sogit(Kelumbigi). Tidak boleh pergi ditempat keramaian bagi yang bertunang kecuali dengan izin si tunang  atau ahli keluarga.

Malam Berinai(Berlimbun)
Pihak lelaki dan perempuan sama-sama bermuafakat jam berapa waktu subuh-subuh melangsungkan upacara mandi berlimbun. Disinilah mak andam kedua-dua pihak membacakan jampi mentera membuang sial dan memohon kebaikan dan murah rezeki kepada pengantin. Malam berinai ini dimulakan dengan upacara menyimpan atau memandikan bedak kepada pengantin dan menyimpan inai dijari tangan dan kaki. Masa pengantin lelaki naik kerimah pengantin perempuan sebaik-baiknya selepas tengah hari iaitu kira-kira jam 2 petang hingga jam 4 petang.

Semasa pengantin lelaki naik perkara-perkara yang perlu disediakan ialah regi-regian atau puketian iaitu alat barangan dapur seperti kuali, pinggan, mangkuk, sudu, kuali kecil (kokompoh) dan gelang leher (manik-manik) semua peralatan dapur mestilah jenis kaca atau yang mudah pecah, kelengkapan ini ialah kepala buruh atau kepala berian.  Setelah pihak telah sampai dikawasan rumah perempuan pihak perempuan memberi denda kepada pihak lelaki iaitu membuat perarakan rombongan tiga kali pusing atau tujuh kali pusing, berpusing dikeliling rumah pengantin perempuan. Sesudah itu dipersilakan naik kerumah. Pihak perempuan menyediakan sebilah parang, sebuah dulang (talam) yang diisi dengan darah ayam untuk dipijak oleh pengantin lelaki sebagai tanda merestui perkahwinan itu, bersama itu juga mak andam akan menaburkan beras kunyit kepada pengantin lelaki dan rombongan.

Selepas ijabkabul telah disempurnakan oleh tuan imam, sapu tangan yang digunakan semasa akad nikah pihak lelaki (pengantin) masuk kebilik pengantin perempuan kemudian sapu tangan tersebut dipusingkan sebanyak 3 kali pusing di atas kepala pengantin perempuan dan melepaskan sapu tangan tersebut tepat diatas telapak tangan perempuan dan pengantin perempuan menyambutnya sebagai tanda rela menerima lelaki tersebut sebagai suami yang sah disisi undang-undang (istilah mengambil). Sebelum itu lelaki tidak boleh melepaskan sapu tangan tersebut selepas akad nikah sebelum membatalkan akad nikah tersebut.

Semasa pengantin lelaki masuk kebilik perempuan mak andam pengantin perempuan akan meminta rantar kaput (sebilah pisau) dan Singkab Lawang sebanyak 1 pisau dan Rm50 tetapi, jika pengantin perempuan janda atau balu (Rantar Kaput sudah tidak ada lagi), setelah selesai upacara membatal dan memusing dilangsungkan didalam bilik pengantin perempuan, pihak pengantin lelaki boleh mewakilkan kepada mak andam untuk memusing pihak perempuan. Selepas itu barulah upacara bersanding. Berian bagi wanita atau darah ialah RM80 bagi zaman dahulu zaman sekarang RM100 manakala bagi janda atau balu RM40 bagi zaman dahulu dan RM80 pada zaman sekarang. Tidak termasuk undang-undang MUIS dan imam.

Upacara Mutingkuang

Sebelum kedua-dua pengantin naik kerumah pengantin lelaki, perkara-perkara yang mesti ditunaikan oleh pihak lelaki ialah pertama Langkah Selang (langkah laut) sebuah Gadur (jenis barang tembaga), kedua Keseruangan (keizinan masuk kerumah lelaki) satu tembaga, Ingkag (parang yang disimpan pada muka pintu), sebilah parang ketegowongan sebuah tembaga, Gadur atau Selapa(tapak sirih), sebuah talam bersama dengan darah ayam, beras kuning dengan ambiau, tebu untuk tujuan sogit. Pengantin lelaki dan perempuan tidak boleh bermalam dirumah lelaki, mesti balik dirumah pihak pengantin perempuan sebelum waktu subuh, hukumnya (dalilnya)pengantin tidak aman damai dan pendek umur.

Tarian Tradisional Orang Sungai

Tarian Orang Sungai seperti Titikas, Berunsai dan Tarian Gabang juga sering di persembahkan di majlis-majlis rasmi ataupun majlis perkahwinan di Sabah. Hubungan Orang Sungai dengan kaum-kaum pribumi Sabah yang lain juga adalah amat baik dan tidak hairanlah masyarakat di sabah ini boleh hidup dibawah satu bumbung walaupun terdapat perbezaan agama dan bangsa.

Tarian Titikas




Alat Muzik Orang Sungai

Gabbang Kayu merupakan sejenis alat muzik tradisional suku kaum Orang Sungai di Daerah Kinabatangan. Berdasarkan sejarah awal mengenai muzik ini, Gabbang Kayu adalah salah satu alat muzik yang kedua terpenting selepas alat muzik kulintangan tembaga yang dibawa masuk oleh masyarakat Suluk sejak awal 1920-an lagi. Alat muzik Gabbang Kayu diperbuat daripada beberapa jenis kayu yang dipanggil Poggil, Litak dan Tilluh dalam bahasa tempatan. Setiap batang kayu akan dibentuk menjadi kepingan-kepingan kayu supaya menghasilkan nada muzik yang tertentu berdasarkan saiznya. Untuk mendapatkan nada bunyi yang sistematik, setiap kepingan kayu tersebut disusun mengikut prinsip kod muzik terkini.

Dengan susunan tersebut seseorang ahli muzik akan dapat memainkan pelbagai rentak lagu yang harmoni serta sedap didengar. Pada masa dahulu, muzik Gabbang Kayu dimainkan sebagai hiburan untuk melepaskan penat lelah setelah selesai melakukan kerja-kerja gotong-royong di ladang sama ada selepas menanam padi ataupun selepas menuai hasil tanaman. Ketika ini muzik Gabbang Kayu dimainkan dalam majlis-majlis keramaian seperti majlis kahwin, majlis sambutan perayaan atau majlis persembahan. Program perantisan seni muzik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Cawangan Sabah (JKKNS) dengan kerjasama Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) telah memilih muzik Gabbang Kayu sebagai model ke arah pelestarian seni warisan budaya Orang Sungai di Negeri Sabah.


Untuk tujuan tersebut sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan Kebudayaan Milian Magalai telah ditubuhkan pada 04 Ogos 2006 dengan keahlian seramai 15 orang sahaja yang diterajui oleh Encik Juhari Haji Janan (penasihat), Encik Hamra @ Amrah Haji Liwangsa (ketua kumpulan) dan En. cikgu Arif Amrin (ketua jurulatih). Mereka yang menyertai kumpulan ini adalah terdiri daripada belia dan beliawanis Daerah Kinabatangan. Pada November 2007 kumpulan ini telah mewakili Negeri Sabah ke festival kesenian rakyat Malaysia di Kuala Lumpur, Selangor Darul Ehsan.



Pakaian Orang Sungai

 


Makanan Orang Sungai

Suku kaum Orang Sungai ini merupakan Pribumi Sabah yang ramai terdapat di Pantai Timur Sabah. Majoriti penduduk di kawasan dearah Pitas adalah yang berbangsa Sungai. Diantara makanan-makanan tradisi bagi suku kaum Sungai adalah seperti sinagol iaitu sejenis sayur-sayuran, kuih sapit, kuih jala, kuih bahulu dan sebagainya.
      
(Kuih Rempeyek)

(Ikan Masak Ampap)   

(Kuih Baulu)

(Kuih Penjaram)          


Cerita Dongeng Orang Sungai

Buaya dengan Orang Sungai

Dahulu ada seorang pemuda mencari rezeki di Sungai Kinabatangan itu. Malang sekali, pemuda ini jatuh ke dalam sungai kerana perahunya yang tidak seimbang secara tiba-tiba. Pemuda itu hampir lemas dan dia kemudian dibantu oleh satu makhluk yang berenang. Sampai di daratan, setelah pemuda sedar dari kelemasan, dia terkejut ada buaya di sebelahnya. Buaya itu cuba mendekati pemuda itu sebagai tanda bahawa dia selamatkan pemuda itu. Pemuda itu pun mengerti dan dia bersyukur atas jasa buaya itu. Kemudian mereka berdua berjanji akan menghormati satu sama lain ketika berada di Sungai Kinabatangan. Selepas kejadian itu, tiada seorang pun antara Orang Sungai Kinabatangan cuba memungkiri janji. Sehingga kini, buaya tidak mengganggu aktiviti Orang Sungai Kinabatangan biarpun mereka pernah bertemu.

No comments:

Post a Comment